|
MENGURUS MASA MENGIKUT SYARIAT... |
Monday, January 15, 2007 |
BIJAK pandai mengatakan, masa itu emas. Sejak zaman dulu, manusia mengakui emas sesuatu yang amat bernilai. Memiliki emas sama ada sebagai harta atau barang perhiasan juga membanggakan diri. Melihat kepada tingginya nilai emas di pasaran dan sukar pula untuk memperolehnya tanpa ikhtiar dan usaha, maka nilaiannya disandarkan kepada masa. Walaupun emas tetap mahal, namun jika dibandingkan dengan masa, nilainya sama sekali tidak dapat disamakan dengan harta benda dan wang ringgit, kerana masa tidak boleh ditukar ganti atau boleh dibeli dan dikembali jika ia sudah berlalu. Sekiranya kita tidak berusaha untuk mendahuluinya dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat setiap masa, maka masa pasti akan mendahului kita, yakni kita akan mengalami kerugian besar kerana membiarkan masa berlalu tanpa diisi perkara bermanfaat.
Masa cukup berharga kepada manusia. Bagi mereka yang mempunyai kerjaya, masa sudah tentu memainkan peranan penting kerana setiap saat dilalui akan ada tugasan dan urusan yang harus diselesaikan mengikut kerjaya masing-masing. Majikan umpamanya akan menilai keberkesanan tugasan pekerjanya dengan memperuntukkan tempoh dan waktu tertentu untuk mereka menyiapkan sebarang tugasan, apabila ia dapat disiapkan pada masa dan tempoh seperti ditetapkan. Pekerja sebeginilah yang benar-benar memahami dan menghayati betapa pentingnya mengikut ketetapan masa kerana setiap detik berlalu, ia tidak dapat diulang kembali. Islam mengajar manusia cara dan kaedah menjaga dan mengurus masa dengan baik dan berkesan mengikut kehendak syariat.
Di antara kaedah-kaedahnya ialah:
- Membuat perancangan teliti. Setiap pekerjaan sudah pasti akan dilaksanakan mengikut masa tertentu sama ada masa harian, mingguan, bulanan, tahunan dan sebagainya. Justeru, penjadualan adalah sesuatu yang mustahak. Jadual hendaklah disediakan dengan kemas dan rapi bagi mengelakkan sebarang pembaziran masa. Tempoh penyiapan sesuatu kerja hendaklah ditetapkan tempoh tertentu bagi menentukan proses penyiapannya, untuk mengelakkan ia menjadi kerja yang bertangguh dan tidak sistematik.
Nabi Ibrahim umpamanya menyediakan jadual khusus dalam waktu hidupnya seharian sebagaimana berikut:
- Waktu untuk bermunajat (berzikir) kepada Allah.
- Waktu untuk bermuhasabah diri.
- Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah.
- Waktu untuk keperluan hidup seperti makan dan minum.
- Sentiasa menepati masa : Sebagai umat Islam yang sentiasa inginkan kemajuan diri, masyarakat, bangsa dan negara, kita hendaklah menjadi orang yang sentiasa menepati masa untuk mengelak timbul hal negatif akibat daripada kecuaian.
Sebuah kata-kata hikmah menyatakan : "Jangan tangguh kerja hari ini sehingga hari esok".
- Jangan membazir masa. Orang yang benar-benar menghargai masa akan sentiasa memenuhkan masa hidupnya dengan melakukan perkara bermanfaat untuk diri dan orang lain dengan mengelakkan daripada terbabit dengan pekerjaan yang makruh, apatah lagi yang haram dan maksiat.
- Menjaga kualiti masa. Kualiti masa bagi seseorang berbeza-beza mengikut keupayaan, persepsi dan kemampuan mengisi masa dalam kehidupan seharian. Namun begitu, Islam menyusunnya mengikut batas tertentu yang pasti sesuai dan perlu diambil perhatian semua umat Islam.
Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, masa senangmu sebelum susah dan masa hidupmu sebelum mati"
- Berlumba-lumba meningkatkan kualiti dan produktiviti. Berdasarkan hadis di atas manusia amat dituntut untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti dan bermutu apabila sudah nekad melakukan sesuatu tugasan pada masa hidup, senang, sihat, dan dalam usia muda dengan tenaga yang masih kuat, maka berusahalah untuk menghasilkan sesuatu natijah atau hasil yang benar-benar mampu untuk dibanggai orang lain.
Firman Allah dalam surah al-Maidah bermaksud : "Hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan." Rasulullah pula bersabda: "Sesungguhnya Allah kasih kepada seseorang di antara kamu apabila bekerja sentiasa meningkatkan mutu kerjayanya"
- Beristiqamah dalam melakukan kerja. Kekuatan untuk mengekalkan semangat dan beristiqamah apabila diberi tugasan adalah satu ibadat.
- Mengambil iktibar daripada masa silam. Setiap pekerjaan atau tugasan yang dilakukan tidak semua akan menghasilkan kejayaan seperti diharapkan, namun Islam menuntut kita supaya sentiasa menjadikan masa silam sebagai guru dan pengalaman untuk menilai kembali kekuatan dan persediaan diri menghadapi tugasan hidup yang lain.
Di dalam al-Quran, Allah menyatakan dengan terang berkenaan orang yang untung dan rugi dalam pengurusan masa hidup mereka. Surah al-Asr menjelaskannya: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran".
(diolah dari islamic yahoogroups)
|
posted by imtiaz @ 4:21 PM  |
|
|
|
. : Me : . |
IBN MOHAMAD RAIS MOHD FAIZAL
See My Story
|
. : Previous Post : . |
|
. : Archives : . |
|
. : Cogitation : . |
|
|